Sunday, November 27, 2011

Dalam Kenangan

..............................


Hujung minggu yg baru lalu saya dikejutkan dengan panggilan telefon sekitar pukul 2.30 pagi Sabtu. Adik mengkhabarkan bahawa bapa saudara kami telah meninggal dunia. Kemudian baru saya perasan sms dari balu arwah yang masuk ke inbox saya pukul 1.44 pagi. Innalillah...

Arwah merupakan anak sulung dalam keluarga, meninggal pada usia 64 tahun. Kematian mengejut saya kira kerana tidak ada ura-ura beliau sakit. Suspeknya jantung. Pemergian bapa saudara amat dirasakan. Beliau mudah didekati dan menjadi tempat rujukan terutama semenjak pemergian ayah sendiri. Malah jam tangan pemberiannya dari Dubai lebih dua tahun lalu masih saya pakai. 

Arwah merupakan seorang alim yang banyak mencurahkan ilmu dan jasa bakti. Beliau pergi tidak lama selepas kembalinya dua orang anak terunanya dari Morocco usai tamat pengajian. Allah memang pengaturcara yang paling baik. Pemergiannya meninggalkan anak-anak yang sudah bersedia untuk berkhidmat dengan segala ilmu dan kemampuan yang mereka ada. Insya-allah, merekalah pewarisnya. 

Kebetulan sekali tarikh kematian tidak jauh dari ulangtahun ke-15 pemergian ayahanda saya yang tercinta ke rahmatullah. Ayahanda meninggal sewaktu saya sedang menghabiskan sisa-sisa cuti akhir tahun Tingkatan 1. Juga akibat serangan jantung.  Hingga ke saat ini saya masih merinduinya. Perwatakan ayah memang berbeza dengan bapa saudara saya ini. Seingat saya, ayahanda saya garang orangnya (mungkin dengan anak-anak shj?). Arwah jenis yang tidak banyak bercakap di rumah. Lihat lirik matanya sahaja sudah tahu dia marah atau tidak setuju dengan perbuatan saya. Tapi entah kenapa saya tetap suka mencari peluang mendampingi arwah. Saya tidak ingat, atau mungkin juga masih belum reti, tetapi menurut kakak saya, arwah ayah memang memanjakan saya sewaktu saya kecil-kecil dahulu. Mungkin kasih sayangnya itu terkesan hingga saya tetap suka bersama ayah walaupun beliau garang. Sayang sekali ayah pergi terlalu awal. Kadang-kadang terfikir juga, 'kalau ayah masih ada, bagaimana agaknya?'. Namun saya sedar saya harus buang perasaan itu jauh-jauh. Kerana Allah Maha Mengetahui, tentu sahaja aturan Allah ini adalah yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya.

Tiada apa yang boleh saya lakukan, melainkan berdoa untuk kesejahteraan kedua-dua insan yang disayangi ini. Semoga mereka termasuk dalam golongan orang-orang yang beriman dan mendapat keredhaan Allah. Al-Fatihah...  

No comments: